Monday, 28 June 2021

Bunyi Binatang Dalam Bahasa Melayu_Jom Belajar

Menegembek dan mengakak????

Dalam Bahasa Melayu terdapat perkataan yang sesuai untuk bunyi binatang. Contoh peribahasa Melayu yang sering kita gunakan iaitu masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang babi...haaa bunyi apa???? jom kita tengok video yang saya sediakan mengenai bunyi binatang dalam bahasa Melayu.


Harap video ini dapat membantu kita semua tahu menggunakan perktaan yang sesuai bagi bunyi binantang.


Thursday, 16 April 2020

Asas Tatabahasa _ Kata Penegas

Kata penegas ialah partikel yang digunakan untuk memberi penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Jom kita lihat video ini untuk lebih memahaminya. Semoga memberi manfaat kepada anda semua. Jangan lupa subscribe untuk mendapat maklumat lain tentang Bahasa Melayu.


Monday, 13 April 2020

Asas Tatabahasa_Kata Arah

Kali ini kita akan belajar kata arah. Jom kita tonton video yang saya paparkan mengenai  kata arah. Harap anda subscribe chaneel saya untuk maklumat terkini.

Arah Dalam Kehidupan Manusia


Wednesday, 25 March 2020

Asas Tatabahasa_Ayat Songsang

Jom kita belajar pula tentang ayat songsang.

Monday, 23 March 2020

Asas Tatabahasa_Teknik Menjawab Soalan Bahasa Melayu UPSR

Kali ini saya memaparkan teknik menjawab soalan Bahasa Melayu UPSR untuk anda semua. Jangan lupa untuk klik butang subscribe dan share channel saya ini. Semoga memberi manfaat kepada anda semua. Terima kasih.

Friday, 14 February 2020

Keliru Penggunaan Ayat ialah dan adalah??



Kita selalu keliru dalam penggunaan perkataan ialah dan adalah. Jom kita dengar bagaimana ingin menggunakan perkataan ialah dan adalah dalam ayat.




Thursday, 13 February 2020

Simbol Kebiadaban

Alhamdulillah, hasil penulisan  pertama aku yang dapat lolos ke majalah Dewan Sastera Bulan Februari 2020. Sebelum ni dah beberapa kali hasil penulisan aku tersiar dalam mmajalah Tunas Cipta terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka. Sebenarnya untuk lolos ke Dewan Sastera sangat sukar tapi aku tak pernah berputus asa untuk menghantar karya kepada Dewan Sastera. Makanya, Simbol Kebiadaban dah menjadi hak Dewan Bahasa Dan Pustaka buat seketika. Untuk membaca majalah Dewan Sastera hanya melalui majalah elektronik sahaja. Pergi ke laman Dewan Bahasa dan Pustaka.


Kulit Hadapan Majalah Dewan Sastera Februari 2020

Hasil Penulisan aku yang tak seberapa ini.

Sunday, 20 February 2011

NASIB BAHASA DI BUMI KITA

Entri hari ini saya ingin memperkatakan nasib bahasa di bumi kita. Kadang-kadang isu bahasa ini sering diperkatakan. Tapi ada yang ambil kisah. Mungkin satu persepuluh yang akan ambil tahu tentang bahasanya. Tapi hari ini jika kita membaca rencana di Utusan Malaysia , Tulisan Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah beliau berkata begini, Jika mahu membaca keseluruhan klik sini.

Persatuan ini mengancam akan mengadakan protes dengan menggantung banner atau mungkin berdemonstrasi jika Kementerian Pelajaran terus menghantar guru kaunselor dan guru Bahasa Melayu ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), tanpa boleh berbahasa Mandarin. Jika saya berada di kementerian, memang sukar sekali memenuhi tuntutan sebegini. Berapa ramai guru dan kaunselor Melayu yang boleh berbahasa Mandarin.

Dalam kata lain, kaunselor dan guru Bahasa Melayu tidak layak berada di SKJC jika tidak menguasai dwibahasa. Inilah dilema sistem pendidikan kita sejak dari dahulu. Akta demi akta diwujudkan dan dipinda, untuk meraikan orang lain. Tetapi, langsung tidak dihargai dan mereka tidak pernah bersyukur. Sekian lama merdeka, kita asyik terus bermain tarik tali. Tidak ada ketegasan dalam memperkasakan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan bahasa Melayu terus terumbang-ambing, ibarat diluah mati bapa, ditelan mati emak. Lihatlah sekeliling adakah martabat bahasa kebangsaan terangkat?

Kalau kita sebagai penutur jati bahasa kita tidak menyanyangi bahasa kita sendiri, cuba anda bayangkan. Tambahan sekarang , kebanyakan blogger menggunakan singkatan dan bahasa yang sukar difahami. Jika ingin menggunakan bahasa Inggeris , gunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya. Jangan dicampuraduk dengan bahasa Melayu. Kasihan bahasa kita , sudahlah dianaktirikan , bangsa sendiri pun tidak mahu mengangugkanya. percaya atau tidak , saya pernah ke Johor Jaya dan berurusan di beberapa buah kedai yang bukan berbangsa Melayu. Sangat teruk penggunaan Bahasa Melayu mereka. Andaian saya bahawa mereka bersekolah tetapi tidak menggunakan Bahasa Melayu dengan sebaiknya. Kita sedia maklum bahawa , Bahasa Melayu merupakan bahasa komunikasi bagi negara kita. Jika situasi ini berlaku , bagaimana boleh dikatakan bangsa lain akan menggunakan bahasa kita , sedangkan kita sendiri tidak mahu menggunakanya.

Justeru , bacalah rencana tulisan Dr. Ridhuan Tee Andullah , mengenai nasib bahasa di bumi kita. Sedarlah sebelum kita hilang satu lagi anugerah yang tidak ternilai di bumi kita.

Monday, 12 October 2009

BULAN BAHASA

Tahukah anda Bulan Oktober ini adalah bulan bahasa?

Mungkin ada yang berkata ya, atau ramai yang berkata tidak tahu...bukan disebabkan saya mengajar Bahasa Melayu lantas mengajak orang ramai mengingati Bahasa ibunda kita. Sayang sekali terdapat rakan-rakan yang mengajar mata pelajaran selain BM begitu sinis dan menjengkelkan apabila bertanya mengenai BM. Walhal, setiap rakyat Malaysia perlu belajar BM dan lulus Bahasa. Justeru , saya dapat mengatakan bahawa Bulan Bahasa Kebangsaan di negara kita amat suram dan kelam...berbanding dengan kempen-kempen pelancaran yang lain.

Selain itu, ramai yang tidak mengendahkan Bulan Oktober ini sebagai bulan Bahasa. Kerana apa?
Pihak yang melancarkan Bulan bahasa Kebangsaan perlu sedar bahawa bulan Oktober sehingga Disember merupakan bulan peperiksaan bagi kebanyakan sekolah. Bukankah yang melaksanakan aktiviti berkaitan dengan bulan Bahasa biasanya melibatkan institusi pendidikan. Jika kita ingin melihat pihak swasta atau pun badan berkanun yang lain menjayakan bulan bahasa kebangsaan ..jangan bermimpi dan boleh dikira dengan jari. Pelajar kita sibuk dengan PMR, SPM dan STPM.Begitu juga dengan guru-guru yang mengajar. Justeru bagaimana Bulan Bahasa ini dapat diaplikasikan dengan berkesan?

Bulan Bahasa yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri akan berlalu begitu sahaja. Mengapa saya berkata demikian? Jika perkara yang melibatkan BM , orang Malaysia yang berbangsa Melayu sendiri pun endah tak endah sahaja. Maka dapatlah dikatakan bahawa hanya bulan sahaja yang berbahasa....kerana manusia tidak tahu bulan ini bulan apa?

Thursday, 11 June 2009

PERLU LULUS BI BARU DAPAT SIJIL ?

Melihat entri di atas membayangkan saranan yang dilakukan oleh Menteri Pelajaran seakan-akan meminggirkan pelajar yang betul-betul tidak minat dan mahu menggunakan BI. Di sini saya ingin mnceritakan sedikit mengenai rakan-rakan saya yang tidak pun kredit malah tidak lulus pun BI , tapi menjadi orang yang berjaya. Mata pelajaran lain sangat bagus , melainkan BI. Maklumlah , duduk ceruk kampung . Alih -alih masuk institut kemahiran yang dapat memberikan mereka kejayaan tanpa perlu lulus BI. Mereka bukan tak belajar BI , mereka belajar cuma tidak lulus peperiksaan sahaja. Cuba pembaca bayangkan , terdapat juga guru-guru dan kakitangan awam lain yang dulu tak lulus pun BI. Tapi mereka boleh berjaya dalam kerjaya dan hidup. Justeru , belum pun selesai isu PPSMI wujud pula isu BI ni. saya ada terbaca dalam Utusan malaysia ka atau Berita Harian , komen mantan PM kita yang mengatakan , pada masa hadapan lahirlah anak cucu kita yang "bodoh" kerana tidak mahu belajar menggunakan BI dan juga PPSMI. Adakah hari ini kita semua orang yang bodoh kerana tidak pandai BI atau belajar PPSMI. Bagi penulis sendiri , ilmu Pendidikan Islam dan Moral sepatutnya ditekankan. Maka terfikirlah saya sebagai bekas pelajar yang mengambil SPM dapat gred 7 dan terus belajar di peringkat maktab seterusnya di universiti. jadi bagaimana dengan mereka yang tidak lulus masa spm bolehkah lagi belajar pada peringkat yang seterusnya.? Mungkin terdapat agenda atau polemik yang diwujudkan bagi melekakan rakyat Malaysia. Kesimpulanya , tidak belajar BI pun kita tidak akan menjadi orang yang bodoh. Adakah BI akan ditanya apabila kita menghadap-Nya. Fikir-fikirkanlah...

Tuesday, 31 March 2009

MENGAPA PPSMI TIDAK BOLEH DITERUSKAN.

Ini sebahagian tulisan yang diambil dipetik daripada tulisan rakan-rakan blog( LUTFI ISHAK ). Harap membaca dengan penuh kritis dan kreatif.

7 Sebab Mengapa PPSMI Perlu Ditolak.
1. Perlembagaan menyebut dengan jelas hak Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa Pendidikan. Oleh itu, apabila bahasa Melayu disisihkan dan bahasa Inggeris digunakan, maka secara jelas, tindakan ini melanggar perlembagaan. Tindakan ini akan memberikan imej yang negatif kepada kerajaan di mata pencinta bahasa kerana merendahkan fungsi bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pendidikan dan di mata rakyat kerana melanggar perlembagaan.


2. PPSMI ternyata sudah menunjukkan kegagalannya. Pelbagai dapatan kajian lapangan seperti yang dibuat oleh Prof Ishak Haron dan penyelidik di bawah PEMBINA, menyarankan PPSMI dihentikan kerana telah gagal. Lagipun, sesuatu bangsa itu semestinya diajar dalam bahasa ibunda mereka kerana bahasa itu paling mudah difahami. Lebih-lebih lagi, subjek sains dan matematik, yang bukannya mementingkan kefahaman bahasa, tetapi kefahaman rumus/proses/sebab akibat. Oleh itu, jika diteruskan, pendekatan ini berbahaya kerana akan melambatkan pemahaman pelajar terhadap konsep-konsep penting dalam kedua-dua subjek tersebut, selain akan menyebabkan minat pelajar terhadap subjek tersebut menurun. Lagipun mengatakan pelajar kita akan menguasai bahasa Inggeris dengan pelaksanaan itu, tentunya tidak relevan. Apabila saya membedah seekor tikus sebagai contoh, saya tidak akan bertanya kepada guru saya paru-paru tikus ini di panggil apa dalam bahasa Inggeris, tetapi, apa yang saya mahu tahu ialah bagaimanakah paru-paru ini berfungsi? PPSMI dengan jelas memperlekehkan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi.


3. PPSMI ialah pendekatan yang akan melahirkan pelajar yang terpesona dengan bahasa Inggeris dan bukannya pelajar yang akan menghayati budaya ilmu. Jika betul kerajaan berniat mahu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, pendekatan yang lebih rasional dan bijak serta tidak memperlekehkan bahasa Melayu dan perlembagaan harus diambil. Malah, menekankan kepentingan yang ekstrem terhadap penguasaan bahasa Inggeris juga satu pendekatan yang salah. Jika betul kita jujur, yang perlu ditekankan ialah pendekatan seperti yang diambil oleh negara maju. Mereka tidak menyuruh rakyat mereka menguasai bahasa Inggeris, tetapi menguasai bahasa kedua dan bahasa ketiga. Maksudnya bahasa Perancis, bahasa Jerman, bahasa Arab, bahasa Inggeris dan lain-lain, dan menekankan kepentingan bahasa ibunda sebagai asas pendidikan, perpaduan, ekonomi dan politik (pengucapan keilmuan) dalam konteks setempat. Cara ini lebih selamat kerana bahasa Inggeris tidak selamanya akan menjadi lingua franca. Bagaimana suatu masa nanti jika Bahasa Mandarin menjadi lingua franca? Adakah kita mahu menukar pendekatan pula dengan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Mandarin? Untuk itu, pendekatan yang diambil oleh negara maju tersebut ternyata lebih rasional dan selamat kerana kita dapat mengembangkan potensi bahasa kebangsaan ke tahap yang lebih tinggi dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan pengetahuan rakyat terhadap bahasa penting yang lain.




4. Dasar ini juga memperlihatkan satu fahaman yang salah; iaitu, untuk maju, kita mesti menguasai bahasa Inggeris. Hal ini seolah-olah menafikan kepentingan penterjemahan dalam sesuatu pembinaan tamadun. Pandangan ini juga jelasnya hanya lahir daripada orang yang buta sejarah tamadun besar manusia atau orang yang sengaja menutup mata kerana ada kepentingan lain. Sejarah telah mencatatkan bahawa sesuatu bangsa akan menjadi tamadun yang besar hanya dengan memajukan ilmu dan berfikir dalam kerangka yang betul serta dalam bahasa ibunda mereka. Orang Arab Islam tidak memajukan ilmu dalam bahasa Yunani tetapi mereka menterjemahkan ilmu-ilmu dalam bahasa Yunani ke dalam bahasa arab. Mereka mengkritik sesetengah fahaman dan ilmu Yunani dan kemudiannya disesuaikan dengan pandangan alam Islam. Begitu juga yang dilakukan oleh cerdik pandai Barat ketika mereka berusaha keluar daripada zaman kegelapan (dark ages). Mereka pergi ke Andalusia (Sepanyol), belajar di sana dan kemudian pulang ke Eropah lalu melakukan penterjemahan dan pengubahsuaian. Mereka tidak memajukan ilmu yang mereka pelajari di Sepanyol dalam bahasa Arab di Eropah. Malah, Pope Sylvester turut menekankan kepentingan bahasa latin dan menggalakkan penterjemahan ilmu orang Arab ke dalam bahasa latin. Sistem angka orang arab mereka salin kembali dalam bahasa Latin. Begitu juga yang dilakukan oleh orang Inggeris. Berkat usaha penterjemahan dan penggunaan bahasa Inggeris dalam penulisan ilmiah, maka, bahasa tersebut berjaya menjadi lingua franca seperti yang ada pada hari ini. Malah mereka sangat gigih dan tidak mengambil jalan pintas demi memajukan ilmu dalam bahasa Inggeris. Sebagai contoh, apabila mereka hendak menterjemahkan buku Haidiegger, Being and Time, mereka mengambil masa selama tiga puluh tahun. Mereka sanggup menempuh masa selama tiga puluh tahun biarpun menterjemahkan sebuah buku kerana kesannya akhirnya dapat menambah khazanah ilmu dan bahasa Inggeris itu sendiri. Mereka tidak pula mengajar falsafah dalam bahasa Jerman semata-mata untuk menguasai ilmu yang ada dalam bahasa Jerman. Ketekalan dan ketabahan serta semangat itu yang perlu dicontohi, bukannya mahu terpesona dengan bahasa Inggeris.




5. Jika betul kerajaan mahu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris untuk keperluan semasa, kenapa tidak silibus dan pedagogi yang diamalkan sekarang dikaji dan dinilai semula. Soalan yang perlu mereka tanya bukannya apakah cara yang boleh diambil dan diterapkan lagi untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris setelah mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa itu, tetapi, mengapa pelajar kita masih belum mampu berbahasa dan menulis dengan baik dalam bahasa Inggeris setelah sebelas tahun diajar di sekolah? Jadi, mereka harus menjawab soalan tersebut dengan memulakan kajian lapangan yang jujur dan menyeluruh.



6. Tindakan kerajaan dengan menekankan penguasaan bahasa Inggeris melalui ilmu Sains dan Matematik juga menggambarkan sikap kerajaan yang beranggapan hanya dengan menguasai Sains, Matematik dan bahasa Inggeris, negara kita akan menjadi sebuah negara maju dan boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju. Malah, sangat mengejutkan apabila kita diberitahu kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 5 BILION untuk menjayakan dasar yang dimulakan tanpa ada apa-apa asas penyelidikan ini. Bagaimana jika generasi selepas ini menjadi manusia yang pakar dalam ilmu sains dan matematik, tetapi tidak mampu menghasilkan pakar ilmu sains sosial, ILMU AGAMA, falsafah, seni, bahasa, sastera dan lain-lain? Adakah sebuah tamadun akan tercipta hanya setelah kita berjaya mencapai kemajuan dan bidang sains dan teknologi? Ilmuwan dalam bidang peradaban menekankan ilmu kemanusiaan, sains sosial, seni sama pentingnya dengan peranan sains dan teknologi. Jika tidak, kemajuan dan ketamadunan yang mahu dicapai, hanyalah cakap orang tidak bijak. Malah, jika kita kita mencapai kemajuan yang tinggi dalam sains dan teknologi, maka, tamadun tersebut ialah satu tamadun yang palsu dan rapuh. Tidak mustahil teknologi yang dilahirkan ialah senjata yang akan makan tuan. Malah, sejarah juga memperlihatkan, bangsa yang tidak mempunyai budaya ilmu yang kukuh, akhirnya akan terjajah pemikiran dan budayanya, biarpun mempunyai kekuatan fizikal atau ketenteraan. Sebagai contoh, Atilla dan tenteranya telah meruntuhkan Rom. Namun, akhirnya, Atilla dan tenteranya menganut budaya Rom kerana mereka tidak mempunyai kebudayaan dan ilmu yang maju berbanding kebudayaan orang Rom.




7. Penerimaan atau penolakan rakyat terhadap dasar PPSMI bukanlah satu sebab yang rasional. Jika di sebuah kampung yang majoritinya ialah pencuri, adakah patut kita mengharamkan perbuatan mencuri dengan setelah mendapat persetujuan daripada majoriti pencuri-pencuri tersebut? Jawapannya tentu tidak. Isu PPSMI tidak seharusnya dilihat pada jumlah rakyat yang menyokong/menentangnya. Ini isu pendidikan. Serahkan kepada mereka yang pakar, yakni pakar-pakar pendidikan yang memang terlatih dan terlibat dalam bidang ini secara langsung. Itulah perbuatan yang seadil-adilnya kerana para pakar bercakap hasil penyelidikan dan kepakaran mereka. Mereka tidak mempunyai kepentingan atau niat maju popular kerana seseorang itu bukannya hanya layak menjadi seorang profesor atau ilmuwan setelah majoriti masyarakat bersetuju tetapi atas kapasiti ilmu dan kepakarannya dalam sesuatu bidang itu. Dalam hal ini, kerajaan seharusnya tidak mengamalkan faham kuantitatif, yakni melihat pada bilangan dan jumlah, sebaliknya perlu lebih objektif dan melihat kepada hasil kajian dan mereka yang pakar.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

blogger templates | Make Money Online