Tuesday, 31 March 2009

MENGAPA PPSMI TIDAK BOLEH DITERUSKAN.

Ini sebahagian tulisan yang diambil dipetik daripada tulisan rakan-rakan blog( LUTFI ISHAK ). Harap membaca dengan penuh kritis dan kreatif.

7 Sebab Mengapa PPSMI Perlu Ditolak.
1. Perlembagaan menyebut dengan jelas hak Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa Pendidikan. Oleh itu, apabila bahasa Melayu disisihkan dan bahasa Inggeris digunakan, maka secara jelas, tindakan ini melanggar perlembagaan. Tindakan ini akan memberikan imej yang negatif kepada kerajaan di mata pencinta bahasa kerana merendahkan fungsi bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pendidikan dan di mata rakyat kerana melanggar perlembagaan.


2. PPSMI ternyata sudah menunjukkan kegagalannya. Pelbagai dapatan kajian lapangan seperti yang dibuat oleh Prof Ishak Haron dan penyelidik di bawah PEMBINA, menyarankan PPSMI dihentikan kerana telah gagal. Lagipun, sesuatu bangsa itu semestinya diajar dalam bahasa ibunda mereka kerana bahasa itu paling mudah difahami. Lebih-lebih lagi, subjek sains dan matematik, yang bukannya mementingkan kefahaman bahasa, tetapi kefahaman rumus/proses/sebab akibat. Oleh itu, jika diteruskan, pendekatan ini berbahaya kerana akan melambatkan pemahaman pelajar terhadap konsep-konsep penting dalam kedua-dua subjek tersebut, selain akan menyebabkan minat pelajar terhadap subjek tersebut menurun. Lagipun mengatakan pelajar kita akan menguasai bahasa Inggeris dengan pelaksanaan itu, tentunya tidak relevan. Apabila saya membedah seekor tikus sebagai contoh, saya tidak akan bertanya kepada guru saya paru-paru tikus ini di panggil apa dalam bahasa Inggeris, tetapi, apa yang saya mahu tahu ialah bagaimanakah paru-paru ini berfungsi? PPSMI dengan jelas memperlekehkan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi.


3. PPSMI ialah pendekatan yang akan melahirkan pelajar yang terpesona dengan bahasa Inggeris dan bukannya pelajar yang akan menghayati budaya ilmu. Jika betul kerajaan berniat mahu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, pendekatan yang lebih rasional dan bijak serta tidak memperlekehkan bahasa Melayu dan perlembagaan harus diambil. Malah, menekankan kepentingan yang ekstrem terhadap penguasaan bahasa Inggeris juga satu pendekatan yang salah. Jika betul kita jujur, yang perlu ditekankan ialah pendekatan seperti yang diambil oleh negara maju. Mereka tidak menyuruh rakyat mereka menguasai bahasa Inggeris, tetapi menguasai bahasa kedua dan bahasa ketiga. Maksudnya bahasa Perancis, bahasa Jerman, bahasa Arab, bahasa Inggeris dan lain-lain, dan menekankan kepentingan bahasa ibunda sebagai asas pendidikan, perpaduan, ekonomi dan politik (pengucapan keilmuan) dalam konteks setempat. Cara ini lebih selamat kerana bahasa Inggeris tidak selamanya akan menjadi lingua franca. Bagaimana suatu masa nanti jika Bahasa Mandarin menjadi lingua franca? Adakah kita mahu menukar pendekatan pula dengan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Mandarin? Untuk itu, pendekatan yang diambil oleh negara maju tersebut ternyata lebih rasional dan selamat kerana kita dapat mengembangkan potensi bahasa kebangsaan ke tahap yang lebih tinggi dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan pengetahuan rakyat terhadap bahasa penting yang lain.




4. Dasar ini juga memperlihatkan satu fahaman yang salah; iaitu, untuk maju, kita mesti menguasai bahasa Inggeris. Hal ini seolah-olah menafikan kepentingan penterjemahan dalam sesuatu pembinaan tamadun. Pandangan ini juga jelasnya hanya lahir daripada orang yang buta sejarah tamadun besar manusia atau orang yang sengaja menutup mata kerana ada kepentingan lain. Sejarah telah mencatatkan bahawa sesuatu bangsa akan menjadi tamadun yang besar hanya dengan memajukan ilmu dan berfikir dalam kerangka yang betul serta dalam bahasa ibunda mereka. Orang Arab Islam tidak memajukan ilmu dalam bahasa Yunani tetapi mereka menterjemahkan ilmu-ilmu dalam bahasa Yunani ke dalam bahasa arab. Mereka mengkritik sesetengah fahaman dan ilmu Yunani dan kemudiannya disesuaikan dengan pandangan alam Islam. Begitu juga yang dilakukan oleh cerdik pandai Barat ketika mereka berusaha keluar daripada zaman kegelapan (dark ages). Mereka pergi ke Andalusia (Sepanyol), belajar di sana dan kemudian pulang ke Eropah lalu melakukan penterjemahan dan pengubahsuaian. Mereka tidak memajukan ilmu yang mereka pelajari di Sepanyol dalam bahasa Arab di Eropah. Malah, Pope Sylvester turut menekankan kepentingan bahasa latin dan menggalakkan penterjemahan ilmu orang Arab ke dalam bahasa latin. Sistem angka orang arab mereka salin kembali dalam bahasa Latin. Begitu juga yang dilakukan oleh orang Inggeris. Berkat usaha penterjemahan dan penggunaan bahasa Inggeris dalam penulisan ilmiah, maka, bahasa tersebut berjaya menjadi lingua franca seperti yang ada pada hari ini. Malah mereka sangat gigih dan tidak mengambil jalan pintas demi memajukan ilmu dalam bahasa Inggeris. Sebagai contoh, apabila mereka hendak menterjemahkan buku Haidiegger, Being and Time, mereka mengambil masa selama tiga puluh tahun. Mereka sanggup menempuh masa selama tiga puluh tahun biarpun menterjemahkan sebuah buku kerana kesannya akhirnya dapat menambah khazanah ilmu dan bahasa Inggeris itu sendiri. Mereka tidak pula mengajar falsafah dalam bahasa Jerman semata-mata untuk menguasai ilmu yang ada dalam bahasa Jerman. Ketekalan dan ketabahan serta semangat itu yang perlu dicontohi, bukannya mahu terpesona dengan bahasa Inggeris.




5. Jika betul kerajaan mahu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris untuk keperluan semasa, kenapa tidak silibus dan pedagogi yang diamalkan sekarang dikaji dan dinilai semula. Soalan yang perlu mereka tanya bukannya apakah cara yang boleh diambil dan diterapkan lagi untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris setelah mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa itu, tetapi, mengapa pelajar kita masih belum mampu berbahasa dan menulis dengan baik dalam bahasa Inggeris setelah sebelas tahun diajar di sekolah? Jadi, mereka harus menjawab soalan tersebut dengan memulakan kajian lapangan yang jujur dan menyeluruh.



6. Tindakan kerajaan dengan menekankan penguasaan bahasa Inggeris melalui ilmu Sains dan Matematik juga menggambarkan sikap kerajaan yang beranggapan hanya dengan menguasai Sains, Matematik dan bahasa Inggeris, negara kita akan menjadi sebuah negara maju dan boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju. Malah, sangat mengejutkan apabila kita diberitahu kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 5 BILION untuk menjayakan dasar yang dimulakan tanpa ada apa-apa asas penyelidikan ini. Bagaimana jika generasi selepas ini menjadi manusia yang pakar dalam ilmu sains dan matematik, tetapi tidak mampu menghasilkan pakar ilmu sains sosial, ILMU AGAMA, falsafah, seni, bahasa, sastera dan lain-lain? Adakah sebuah tamadun akan tercipta hanya setelah kita berjaya mencapai kemajuan dan bidang sains dan teknologi? Ilmuwan dalam bidang peradaban menekankan ilmu kemanusiaan, sains sosial, seni sama pentingnya dengan peranan sains dan teknologi. Jika tidak, kemajuan dan ketamadunan yang mahu dicapai, hanyalah cakap orang tidak bijak. Malah, jika kita kita mencapai kemajuan yang tinggi dalam sains dan teknologi, maka, tamadun tersebut ialah satu tamadun yang palsu dan rapuh. Tidak mustahil teknologi yang dilahirkan ialah senjata yang akan makan tuan. Malah, sejarah juga memperlihatkan, bangsa yang tidak mempunyai budaya ilmu yang kukuh, akhirnya akan terjajah pemikiran dan budayanya, biarpun mempunyai kekuatan fizikal atau ketenteraan. Sebagai contoh, Atilla dan tenteranya telah meruntuhkan Rom. Namun, akhirnya, Atilla dan tenteranya menganut budaya Rom kerana mereka tidak mempunyai kebudayaan dan ilmu yang maju berbanding kebudayaan orang Rom.




7. Penerimaan atau penolakan rakyat terhadap dasar PPSMI bukanlah satu sebab yang rasional. Jika di sebuah kampung yang majoritinya ialah pencuri, adakah patut kita mengharamkan perbuatan mencuri dengan setelah mendapat persetujuan daripada majoriti pencuri-pencuri tersebut? Jawapannya tentu tidak. Isu PPSMI tidak seharusnya dilihat pada jumlah rakyat yang menyokong/menentangnya. Ini isu pendidikan. Serahkan kepada mereka yang pakar, yakni pakar-pakar pendidikan yang memang terlatih dan terlibat dalam bidang ini secara langsung. Itulah perbuatan yang seadil-adilnya kerana para pakar bercakap hasil penyelidikan dan kepakaran mereka. Mereka tidak mempunyai kepentingan atau niat maju popular kerana seseorang itu bukannya hanya layak menjadi seorang profesor atau ilmuwan setelah majoriti masyarakat bersetuju tetapi atas kapasiti ilmu dan kepakarannya dalam sesuatu bidang itu. Dalam hal ini, kerajaan seharusnya tidak mengamalkan faham kuantitatif, yakni melihat pada bilangan dan jumlah, sebaliknya perlu lebih objektif dan melihat kepada hasil kajian dan mereka yang pakar.

0 Comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

blogger templates | Make Money Online