HANOI - Populariti daging kucing di Vietnam menyebabkan ramai pemilik
kucing bimbang haiwan peliharaan mereka itu menjadi sasaran pencuri
haiwan.
Daging kucing menjadi makanan kegemaran ramai terutamanya dalam
kalangan warga kota raya ini walaupun hidangan itu telah diharamkan oleh
pemerintah.
Sebuah restoran di sini menyiapkan hidangan daging kucing dengan
terlebih dulu melemaskannya sebelum dibakar supaya bulu haiwan itu mudah
untuk dibuang.
Kucing tersebut kemudian dipotong dan digoreng bersama bawang putih.
"Ramai orang makan daging kucing. Ia hidangan istimewa dan mereka
mahu mencubanya," kata pengurus restoran tersebut, To Van Dung.
Pemerintah Vietnam mengharamkan pengambilan daging kucing dalam usaha
menggalakkan orang ramai membelanya dan mengawal populasi tikus di
bandar raya ini.
Namun, banyak restoran di sini masih menghidangkan hidangan eksotik itu
Situasi tersebut menyebabkan ramai memelihara kucing mereka di dalam
kediaman masing-masing dan tidak membiarkan haiwan mereka berkeliaran.
Permintaan yang semakin meningkat juga menyebabkan banyak haiwan itu
diseludup dari Thailand dan Laos bagi memenuhi bekalan restoran-restoran
tersebut.
Pada hari yang sibuk, sebuah restoran berkenaan boleh menjual 100 hidangan daging kucing.
"Saya sedar di Amerika Syarikat dan Britain, rakyatnya tidak memakan
kucing tetapi di sini adalah sebaliknya," kata seorang lelaki, Nguyen
Dinh Tue, 44, sambil menikmati hidangan daging kucing.
"Saya tidak membunuh kucing tetapi restoran ini menjual daging kucing
justeru saya ingin mencubanya," kata lelaki berusia 44 tahun itu.
Menurutnya, Vietnam pernah miskin dan menghadapi era peperangan yang lama.
"Maka, kami makan apa sahaja untuk terus hidup seperti serangga, anjing kucing malah tikus juga," ujarnya.
"Kini ia menjadi tabiat," tambah Dinh Tue.
Seekor kucing boleh dijual pada harga antara AS$50 (158) hingga AS$70
(RM220) bergantung kepada saiz dan jenis hidangan yang disediakan. -
AFP
0 Comments:
Post a Comment