Balik Pulau: Seorang penyamun patah tangan kanan serta kaki selepas
dibelasah orang ramai dalam satu kejadian di Bayan Baru, dekat sini
pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, suspek yang berusia 34 tahun
bersama rakannya menceroboh sebuah bengkel kereta dan cuba melarikan
peralatan berharga dalam bengkel terbabit.Bagaimanapun, kejadian itu disedari pemilik bengkel yang kemudian mengejar dua suspek berkenaan.
Ketika itu, seorang daripada suspek dapat melarikan diri manakala rakannya berjaya ditahan pemilik bengkel selepas bergelut dengannya.
Ketika bergelut itu, suspek terjatuh dalam longkang dan beberapa orang awam yang melihat kejadian itu turut membelasahnya.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata, suspek terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan patah tangan serta kaki dan juga lebam di seluruh badan.
"Suspek terpaksa menjalani pembedahan dan hasil semakan awal mendapati suspek sebelum ini pernah beberapa kali mencuri di bengkel terbabit.
"Perbuatannnya sebelum ini berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bengkel berkenaan," katanya.
Sumber: Harian Metro
0 Comments:
Post a Comment