Tuesday, 24 September 2013

Timang Cahaya Mata - Spontan Lebih Baik


Kaedah penentuan jantina sebelum kehamilan bukan perkara baru. Sejak dulu lagi, manusia mencuba merancang bilangan dan jantina anak sebelum berlaku kehamilan. Jadi, apa yang ibu bapa lakukan sebelum menimang cahaya mata bukan perkara yang luar biasa.

Paling penting, anda perlu terima apa yang dikurniakan Allah kerana yang terjadi bukan dalam kawalan kita. Anda boleh bayangkan betapa mudah untuk anda dan pasangan mendapat cahaya mata tanpa merancang. Dalam satu kes, pesakit saya yang usianya sudah meningkat merancang dan membataskan hubungan kelamin semata-mata kerana mahu meningkatkan kemungkinan isterinya hamil anak lelaki. 

Sebenarnya apa yang mereka lakukan adalah salah. Tidakkah dalam keadaan ini akan membuat hubungan seksual tertekan? Tekanan pula boleh menyebabkan pelbagai masalah dan sebahagiannya jadual pengovulan (pengeluaran telur) berbeza daripada biasa dan pengeluaran lendir yang subur daripada serviks isteri menjadi kurang subur! Tekanan juga boleh mengganggu perjalanan sperma dalam salur reproduktif. Ia sama dengan lelaki yang merancang hubungan kelamin pada waktu ditetapkan. Kadangkala ereksi tidak seperti ketika hubungan intim berlaku secara spontan, iaitu tidak sekeras biasa manakala ejakulasi pula tidak seperti ketika berada dalam keadaan amat teruja yang biasa berlaku ketika seks dilakukan secara spontan.


Semua yang sedang berlaku, disengajakan atau dirancang tidak sama dengan spontan. Semua yang saya jelaskan ini berdasarkan tinjauan sendiri terhadap pasangan yang sukar hamil ketika sedang merancang.

Pada pendapat saya, membataskan hubungan kelamin untuk mendapatkan anak lelaki adalah cara yang salah dan tidak betul. Jangan percaya tip kuno yang tidak diketahui kebenarannya. Jika benar mahu merancang kehamilan, berjumpalah pakar dalam bidang berkenaan dan dapatkan nasihat mereka.

Sumber:Harian Metro

0 Comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

blogger templates | Make Money Online