ALOR SETAR - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal
dunia setelah ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta bapanya di
kawasan letak kereta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang
dekat sini hari ini.
Mangsa, Muhammad Aqil Arfan Adnan dipercayai terperangkap lebih lapan
jam dalam kereta Perodua Viva, sebelum ditemui bapanya Adnan Salleh,
40-an, yang merupakan guru agama sekolah itu pada 4 petang tadi, selepas
habis waktu bekerja.
Difahamkan, mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Kuala Nerang, namun disahkan telah meninggal dunia.
Saudara mangsa, Soaid Adam, 45, berkata Adnan sepatutnya menghantar
anaknya itu ke tadika yang terletak kira-kira 150 meter dari tempatnya
mengajar terlebih dahulu.
Bagaimanapun dia dipercayai terlupa berbuat demikian dan tidak
menyedari bahawa anak bongsu daripada empat beradik itu sedang tidur di
kerusi penumpang bahagian belakang kereta itu, katanya.
Soaid berkata biasanya Adnan bersama isterinya, Asiah Abu, 30-an, yang
merupakan seorang guru di SMK Dato Syed Ahmad, Kuala Nerang dan anak
mereka keluar dari rumah mereka di Kampung Padang Durian, Pendang
kira-kira 6.45 pagi.
"Selalunya Adnan akan melalui jalan Pokok Sena kemudian dia akan hantar
anaknya dahulu ke tadika, selepas itu dia akan hantar isterinya ke SMK
Dato Syed Ahmad dan kemudian dia akan ke SMK Kuala Nerang.
"Tetapi hari ini, dia melalui jalan Naka kemudian menghantar isterinya
dahulu lalu terus ke SMK Kuala Nerang, dia mungkin terlupa untuk hantar
anaknya ke tadika," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah
(HSB) di sini hari ini.
Soaid berkata dia sangat terkejut apabila Adnan memaklumkan mengenai
insiden itu kepadanya kira-kira 7.30 malam tadi dan tidak menyangka ia
akan menimpa keluarga mereka.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner
Nashir Ya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai
kejadian berkenaan.
Beliau berkata punca kejadian masih belum dikenal pasti. - Bernama
0 Comments:
Post a Comment