Thursday, 24 October 2013

Tunjukkan Bukti Saya Curang Luahan Hati Uqasha Senrose


PELAKON Pekin Ibrahim sebelum ini nekad mendakwa kekasihnya, Uqasha Senrose curang kerana menjalin hubungan sulit dengan seorang pelakon iaitu Sharnaaz Ahmad.Namun, Uqasha ketika dihubungi Kosmo! semalam menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Pekin terhadap dirinya itu. 

Dengan nada sedih bercampur kecewa, luah pelakon filem Paku Pontianak itu, dia tidak pernah menjalin hubungan cinta dengan Sharnaaz.Malah, dia tidak sangka Pekin sanggup memburukkannya dengan keadaan sedemikian rupa.Atas tindakannya itu, ulas Uqasha, orang ramai akan menuding jari mengatakan dia gadis yang jahat lalu mengaitkan kembali kontroversi lalunya dengan pelawak Nabil Ahmad selepas foto kononnya mereka bercium tersebar di internet.

“Saya tidak sangka seorang pelakon yang sudah 16 tahun dalam industri tergamak memberi kenyataan melulu kepada media tanpa berbincang dahulu dengan saya.“Saya tiada hubungan langsung dengan Sharnaaz,” tegasnya yang terkejut dengan berita mengenai keburukannya dari mulut Pekin.

Bicara lanjut mengenai hubungannya dengan Pekin, kata Uqasha, mereka kini sudah putus tetapi punca perpisahan tersebut bukan kerana orang ketiga.

Jelasnya dengan nada rintih, kalau boleh dia tidak mahu mengaibkan Pekin, namun dia terpaksa memberi kenyataan kerana tindakan bekas kekasihnya itu. “Kami bergaduh dan kemudiannya putus bukan disebabkan orang ketiga. Ia berpunca daripada sikap kasar dan panas barannya. 

Walaupun dia tidak pernah memukul saya tetapi dia sering memarahi dan memutus hubungan kami. Selang lima minit kemudian dia akan memujuk saya semula,” ungkapnya masih menerima Pekin atas rasa cinta yang masih menebal.

Tegas pelakon berusia 21 tahun itu, jika benar Pekin mempunyai bukti mengatakan dia curang sila tunjukkan.
Uqasha juga mengakui berasa sangat sedih kerana ketika dia masih bersama Pekin, pelakon filem Bunohan itu selalu menaburkan pujian terhadapnya di media. 

Sebaliknya, bila sudah putus Pekin sanggup mencanangkan keburukan bekas kekasihnya itu.“Biarpun usianya sudah 32 tahun, sebenarnya pemikirannya sangat cetek dan perangai dia sangat kebudak-budakan. Saya mengakui masih muda dan banyak buat silap. 

“Disebabkan itu saya perlukan seseorang yang matang untuk membimbing tetapi tidak sangka pula dia bukan seperti yang saya harapkan,” ungkapnya.Disoal sama ada dia akan menerima kembali Pekin selepas ini, kata Uqasha dalam nada sedih, dia tidak tahu apa yang terjadi selepas ini.

Luahnya: “Perasaan sayang saya terhadapnya masih ada. Saya percaya masih ada sikap baik dalam dirinya itu. Saya tidak akan membencinya.”

Sumber: Kosmo



0 Comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

blogger templates | Make Money Online