Friday, 18 October 2013

Tiga Sekawan Hadapi Tuduhan Rogol Kanak-Kanak 12 Tahun


MELAKA 16 Okt. - Tiga sekawan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, awal bulan ini.

Muhammad Hafiz Abdul Razak, 21, dari Durian Tunggal; Muhammad Asyraf Maula Abdul Syukor, 20, dari Bukit Katil dan Mohd. Aidil Azmi, 18, dari Ayer Keroh, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Ketiga-tiga mereka didakwa merogol kanak-kanak tersebut di sebuah rumah tidak bernombor di Kilometer 9, Jalan Bukit Bayan di sini antara pukul 3.30 pagi dan 6 pagi, 6 Oktober lalu.Dakwaan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa, Ifa Sirrhu Samsudin mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan. 

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membenarkan Muhammad Hafiz dan Muhammad Asyraf Maula masing-masing diikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin.Sementara jaminan terhadap Mohd. Aidil ditetapkan pada RM11,000 dengan seorang penjamin kerana tertuduh merupakan pesalah muda. 

Azhaniz Teh turut menetapkan 13 November ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen serta memberi peluang kepada ketiga-tiga tertuduh melantik peguam bela.

Petikan: Utusan Malaysia

0 Comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

blogger templates | Make Money Online