Friday, 18 October 2013

Guru Sekolah Rendah Dituduh Mencabul Bebas


PETALING JAYA 17 Okt. - Seorang guru sekolah rendah hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mencabul kehormatan seorang murid perempuan berusia lapan tahun, dua tahun lepas.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid membebaskan Mohd Radzi Misran, 57, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.Pada 30 November tahun lepas, mahkamah sama melepaskan dan membebaskan Mohd Radzi daripada pertuduhan itu tanpa memanggilnya membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung keputusan itu.Pada Ogos lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan memerintahkan Mohd Radzi membela diri terhadap pertuduhan mencabul itu.

Hari ini, dalam penghakimannya, Ahmad Solihin selepas mendengar pembelaan guru itu, mendapati keterangan saksi pendakwaan tidak dapat menyokong keterangan mangsa."Keterangan saksi pendakwaan yang lain hanya berdasarkan cerita mangsa dan bukannya melihat sendiri kejadian itu. Malah, keterangan mangsa juga bercanggah dengan keterangan saksi lain semasa menceritakan bagaimana tertuduh mencabulnya.

"Tidak ada saksi lain yang dipanggil dalam kalangan pelajar kelas itu memberi keterangan bagi menyokong keterangan mangsa. Tindakan tertuduh juga didapati adalah sifat yang selari dengan tugas seorang guru dalam menangani karenah murid-murid dalam bilik darjah," katanya.

Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap kanak-kanak itu dengan niat hendak mencabul kehormatannya di sekolah rendah tempat dia mengajar di Subang Jaya di sini antara 1.30 tengah hari dan 6 petang, 29 Mac 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aifaa Che Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Suraj Singh. - BERNAMA

Petikan: Utusan Malaysia

0 Comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

blogger templates | Make Money Online