REMBAU – Percutian dua sahabat sempena Aidiladha di kampung bertukar
tragedi apabila kereta dinaiki mereka terbabas, lalu melanggar tembok di
Kilometer 1 Jalan Pedas - Kundur, Kampung Pedas Tengah, di sini
semalam.
Dalam kemalangan kira-kira 4.25 petang itu menyebabkan Ahmad Fuad
Darus, 20, maut di tempat kejadian. Sementara rakannya, Farmizan Pirman,
19, cedera di bahagian dada.Kedua-duanya merupakan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris
(UPSI), sementara Farmizan dikatakan berasal dari Sabah dan
menghabiskan cuti di kampung rakannya itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Muhammad Ridzuarn Abdul Rahman
berkata, tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau
bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.
"Anggota bomba mengambil masa selama 11 minit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu," katanya.
Menurutnya, mangsa maut di tempat kejadian dan jenazahnya dihantar ke
Hospital Tampin untuk bedah siasat, manakala rakannya dihantar ke
Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk rawatan lanjut.Sementara itu, saksi kejadian, Nurshafiqah Zakaria, 16, berkata, ketika
kejadian, penduduk terkejut apabila terlihat kereta Perodua Viva
dinaiki mangsa melambung di depan rumah jiran.
Menurutnya, mereka kemudian mendapati pemandu kereta tersepit, manakala rakannya sedang mengurut dada sambil mengucap."Penduduk segera mengeluarkan penumpang tempat duduk hadapan. Ada
penduduk yang memeriksa nadi mangsa di leher pemandu, bagaimanapun
mereka dapati mangsa yang tersepit sudah meninggal dunia," katanya.
Sementara itu, ibu saudara mangsa, Zainnah Pie, 43, berkata, dia tidak
menyangka kereta yang terlibat kemalangan itu melibatkan anak saudaranya
sendiri.
Menurutnya, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di
Kampung Anak Air Kundur sebelum memberhentikan kereta sejurus melihat
kemalangan tersebut.
“Sebaik melihat anak saudara saya sendiri, saya terus menghubungi abang saya untuk memaklumkan kejadian ini," katanya.
Menurutnya, Allahyarham Ahmad Fuad pulang bercuti sejak Aidiladha lalu
dan rakan itu tidak pulang ke Sabah dan mengambil keputusan bercuti di
rumah keluarga Allahyarham di Taman Pedas Perdana.
Sumber: Sinar Harian
0 Comments:
Post a Comment