Tuesday 1 October 2013

Pesara Tentera Parah Terkena Peluru Sesat


TAIPING - Seorang pesara tentera cedera parah apabila terkena peluru sesat ketika memancing di tepi sungai di Batu 20, Batu Kurau dekat sini, Ahad lepas.
 
Dalam kejadian pada jam 3 petang itu, tembakan yang dipercayai dilepaskan oleh pemburu di kawasan hutan berdekatan itu terkena pada bahagian belakang lelaki berusia 41 tahun itu.
 
Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Mohd Yusof Md Diah berkata mangsa yang asyik memancing itu dikejutkan dengan bunyi tembakan sebelum terasa pedih di belakang badannya.
 
"Mangsa memeriksa belakangnya dan mendapati banyak darah keluar. Berdasarkan siasatan awal, peluru itu terkena pada batu berhampiran mangsa sebelum melantun dan terkena badannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini
 
Beliau berkata lelaki itu kini dirawat di Hospital Taiping dan keadaannya dilapor stabil.

Sementara itu, Mohd Yusof berkata seorang penganggur berusia 39 tahun yang disyaki terlibat dalam 15 kes ragut di sekitar Taiping ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Keretapi Lama, Kampung Boyan di sini pada 3.45 petang Khamis lepas.
 
Lelaki yang sedang menjalani perintah sekatan itu juga didapati positif dadah, katanya.
 
Beliau berkata polis merampas sebuah motosikal jenis Honda Dash dan kereta Proton Saga serta menemui tiga keping surat pajak gadai dalam dompet suspek dan satu daripadanya adalah milik mangsa ragut.
 
"Lelaki itu mengaku mencuri sebuah motosikal di dalam kawasan Hospital Taiping dan menyembunyikannya di belakang rumah berkenaan dan dia turut menunjukkan tempat dia membuang beg tangan yang diragut di Taman Long Jaafar dan Taman Pertama Aulong," katanya. - Bernama

Sumber: Sinar Harian

0 Comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

blogger templates | Make Money Online