Tuesday, 22 October 2013

Nyaris Dihempap Batu Lima Tan


Georgetown: Jeritan dan lambaian seorang lelaki yang melalui jalan bukit di Jalan Tun Sardon, Balik Pulau, di sini, berjaya menyelamatkan seorang penunggang motosikal daripada dihempap batu seberat lima tan yang jatuh dari bukit itu akibat tanah mendap.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, batu berkenaan bergolek ke bawah selepas sebatang pokok di kawasan itu tumbang, menyebabkan laluan dari Balik Pulau menghala ke Paya Terubong ditutup menjadi satu lorong lebih empat jam. 

 Azan Sulaiman, 45, berkata dia yang dalam perjalanan ke pusat bandar terkejut sebaik mendengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat batu besar jatuh dari atas bukit.

"Mujur batu itu tidak menghempap wanita terbabit kerana dia menyedari jeritan saya lalu segera mengelak” Azan Sulaiman, Saksi"

Katanya, dia hanya mampu menjerit dan melambai tangan kepada seorang wanita yang menunggang motosikal melalui jalan itu.

“Ketika saya menunggang motosikal dari arah Balik Pulau menuju pusat bandar, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat diikuti pokok tumbang. Tidak lama selepas itu, ada batu besar jatuh bergolek dari atas bukit.

“Mujur batu itu tidak menghempap wanita terbabit kerana dia menyedari jeritan saya lalu segera mengelak daripada terkena batu itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sukar alih batu
Sementara itu, jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR), berkata pihaknya menerima panggilan orang awam memaklumkan ada batu di bahagian kiri jalan Balik Pulau menghala Paya Terubong.

“Kerja pembersihan dijalankan, namun kita menghadapi kesukaran selepas jengkaut seberat tiga tan mengalami kebocoran gas hidraulik ketika mengalihkan batu itu.

“Bagaimanapun, batu itu berjaya dialihkan ke bahu jalan menggunakan jengkaut seberat lima tan bagi mengelak kesesakan dan laluan boleh digunakan seperti biasa,” katanya. 
 
Petikan: Berita Harian

0 Comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

blogger templates | Make Money Online