JITRA: Kepantasan dan kecekapan anggota Bomba dan Penyelamat Jitra berjaya menyelamatkan Dewan Sri Mas, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Polimas) bernilai jutaan ringgit daripada musnah dalam satu kebakaran, petang ini.
Hanya kira-kira 10 peratus iaitu pentas utama dewan, siling, bumbung dan peralatan elektronik musnah dalam kejadian itu dipercayai akibat litar pintas kira-kira pukul 3.30 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Hasbullah Mohd Isa berkata seramai 14 anggota dengan dua jentera bergegas ke Polimas sebaik menerima panggilan orang awam pada pukul 3.31 petang.
Katanya pasukan itu, yang tiba dalam tempoh enam minit, mendapati api sedang marak dan asap hitam memenuhi ruang dewan berkeluasan 20x45 meter yang berkunci kerana cuti hujung minggu.
Mereka yang dibantu sebuah lori tangki air dari Balai Bomba Alor Setar dan enam jentera Bomba Sukarela berjaya memadam api dalam masa 12 minit," kata Hasbullah kepada pemberita semasa ditemui ditempat kejadian.
Beliau berkata bomba masih menyiasat punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Polismas, P. Maniam berkata dewan berusia 25 tahun itu akan digunakan untuk majlis konvokesyen Polimas kali ke-26 September ini. - BERNAMA
0 Comments:
Post a Comment