Tuesday 1 October 2013

Anggota Polis Diperintah Bayar RM585 000


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan seorang anggota polis membayar ganti rugi sebanyak RM585,000 kepada bekas isteri dan abang iparnya untuk kecederaan yang dialami mereka selepas ditembak tiga tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Heng Cheong membuat keputusan itu dalam kamar selepas bertemu peguam M.Manoharan yang mewakili plaintif G.Prema dan G.Devendran serta Peguam Kanan Persekutuan Nor Mastura Ayub bagi defendan iaitu Korporal T.Ravindran dan dua lagi.  Pada 2 Januari lepas, Prema, 27, seorang pelajar kolej serta abangnya, Devendran, 28, menyaman Ravindran, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan kerajaan.


Manoharan memaklumkan pemberita bahawa mahkamah memutuskan plaintif berjaya membuktikan kes mereka terhadap Ravindran atas imbangan kebarangkalian. Beliau berkata mahkamah juga mendapati plaintif berjaya membuktikan bahawa insiden itu bukan satu kemalangan. Katanya, mahkamah memerintahkan Prema dan Devendran masing-masing dibayar RM250,000 sebagai ganti rugi teruk dan teladan serta RM60,000 dan RM25,000 sebagai ganti rugi am.

Manoharan berkata mahkamah turut memerintahkan Ravindran membayar RM40,000 sebagai kos kepada plaintif.  Bagaimanapun, beliau berkata mahkamah menolak kes terhadap dua lagi defendan iaitu Musa dan kerajaan selepas memutuskan tiada liabiliti gantian ke atas mereka.

"Tindakan defendan pertama (Ravindran) adalah tanggungjawab beliau sendiri dan bukan disebabkan pekerjaan atau ketika tugas rasmi," katanya. Penyataan tuntutan Prema menyebut beliau mengahwini sepupunya itu pada 6 Mac 2009 dan mendaftarkan perkahwinan mereka di Putrajaya pada hari yang sama. Bagaimanapun, perkahwinan mereka dibubarkan Mahkamah Tinggi pada 28 Jun tahun lepas.

Beliau mendakwa Ravindran telah ke rumah keluarga mereka pada 9.40 malam 2 Mac 2010 dan menembak dia serta abangnya sehingga menyebabkan mereka cedera. Prema berkata beliau dimasukkan ke Hospital Pantai antara 4 dan 10 Mac 2010.  Pembelaan Ravindran, yang difail pada 27 Februari lepas, menafikan perkara itu dan mendakwa ia adalah rekaan semata-mata.

Ravindran mengemukakan tuntutan balas dengan mendakwa tembakan itu dilepaskan ketika bergelut dengan bekas bapa mertuanya. Pada 4 Oktober 2011, Ravindran dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen bagi kesalahan menembak isterinya, Prema, pada 2 Mac 2010.  Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi kesalahan cubaan membunuh. - BERNAMA 
 
Sumber: Berita Harian

0 Comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

blogger templates | Make Money Online