Friday 15 August 2014

Mustafa Tolak Azizah

KUALA LUMPUR - Pas tetap dengan keputusan mereka menolak Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah memberi perkenan kepada Abdul Khalid untuk kekal memegang jawatan berkenaan.
 
"Alasan kami mengenai penolakan Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor telah diberikan kepada pimpinan PKR menerus pertemuan secara tertutup baru-baru ini.
 
"Abdul Khalid diterima sultan sehingga satu masa. Kalau orang lain jadi menteri besar pun kita akan bersama dengan kerajaan," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Lajnah Politik Pas, malam ini. 
 
Hadir sama, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Timbalan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.
 
Menurutnya, mesyuarat yang diadakan selama dua jam turut membincangkan mengenai tindakan dua Adun Pas Selangor yang menyokong Wan Azizah walaupun bertentangan dengan keputusan Majlis Syura Ulama.
 
"Kita akan menjalankan siasatan terlebih dahulu dan bakal memanggil mereka untuk memberikan penjelasan," katanya.
 
Ditanya mengenai kedudukan empat Exco Selangor daripada parti berkenaan, ia turut dibincangkan namun keputusan akhir hanya akan diumumkan selepas Mesyuarat Pimpinan Pas Pusat Isnin hadapan.
 
"Menurut Undang-Undang Tubuh Negeri, sekurang -kurangnya empat Exco perlu wujud untuk menggerakkan pentadbiran di negeri ini.
 
"Mereka bertugas disebabkan rakyat dan bukan kerana kepentingan peribadi," katanya.
 
Sumber: Sinar Harian

0 Comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

blogger templates | Make Money Online