Monday, July 21, 2014

Cameron beritahu Putin perbuatan menembak jatuh pesawat MH17 ‘tidak boleh diterima’


Perdana Menteri Britain, David Cameron menelefon Presiden Vladimir Putin dan menegaskan kepadanya bahawa tindakan menembak jatuh pesawat penumpang MH17 adalah perbuatan yang ‘tidak langsung boleh diterima’ dan berpendapat ia adalah tindakan pemisah Russia.

“Bukti menunjukkan bahawa pemisah pro-Russia bertanggungjawab dan Perdana Menteri menjelaskan bahawa jika Russia ingin menuding jari ke arah lain, negara berkenaan perlu memberi bukti nyata dan berwibawa,” kata kenyataan akhbar berhubung panggilan telefon dari pejabat Perdana Menteri Britain, Downing Street.
Cameron menggesa Putin supaya menggunakan pengaruhnya dengan pemisah pro-Russia bagi menjamin agar pakar dapat mengakses tempat kejadian di mana pesawat Penerbangan Malaysia terbabit terhempas, yang membunuh lebih 300 orang Khamis lalu, bagi tujuan mengumpul bukti dan mengeluarkan mangsa.


“Negara G7 dan Kesatuan Eropah (EU) juga mengulangi gesaannya agar Presiden Putin menghentikan sokongannya terhadap pemisah dan bekerjasama dengan seluruh dunia bagi mencari penyelesaian secara aman. Kegagalan Russia untuk melakukannya menyumbang kepada tragedi yang mengejutkan ini,” kata kenyataan itu.

“Menteri luar Eropah akan mengadakan mesyuarat di Brussels esok bagi menimbang sekatan tambahan ke atas Russia kerana sikapnya itu. Dunia kini sedang memerhati dan Presiden Putin mesti menukar haluan dan bekerja bagi membawa kestabilan di Timur Ukraine,” tegas kenyataan dari Downing Street itu.
 
Sumber: Berita Harian

0 Comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

blogger templates | Make Money Online