Thursday 17 July 2014

Ayam Halal Dan Ayam Haram


JOHOR BAHRU – Sebuah syarikat pemprosesan ayam dikhuatiri mencampurkan organ dalaman dan beberapa bahagian lain membabitkan ayam halal dan tidak halal semasa proses pembungkusan.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Johor (Jaij), Ramly Jusuh berkata, hasil serbuan di lokasi pertama operasi bersepadu pusat sembelihan di Taman Rinting, mendapati jarak antara premis memproses ayam halal dan tidak halal terlalu hampir.

Menurutnya, kedudukan antara premis berkenaan hanya kira-kira 10 meter dan diragui organ dalaman dan bahagian kaki serta leher yang diasingkan boleh bercampur.

“Berdasarkan pemeriksaan, bekalan ayam proses untuk pasaran orang Islam di sembelih pusat sembelihan yang mempunyai Sijil Halal Malaysia yang diiktiraf.

“Bagaimanapun kedudukan dua premis ini terlalu hampir, kita khuatir akan ada pencampuran semasa pembungkusan termasuk ketika penghantaran.

Kita sarankan supaya pengusaha tidak beroperasi di kawasan sama,” katanya pada Operasi Bersepadu Pusat Sembelihan, di sini, semalam, membabitkan sembilan agensi kerajaan termasuk Jabatan Veterinar, Jabatan Imigresen, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Jabatan Alam Sekitar.

Ops berkenaan bermula kira-kira jam 12 tengah malam dan berakhir pada jam 4.00 pagi semalam, membabitkan dua lokasi iaitu Taman Rinting dan Pandan, di sini.

Syarikat terbabit turut dikenakan kompaun sebanyak RM750 selepas didapati membuang sisa ayam ke dalam longkang dan manakala premis yang memproses ayam tidak halal didapati beroperasi tanpa lesen.

Ramly berkata operasi diteruskan ke lokasi kedua di Pusat Penyembelihan ayam di Pandan mendapati premis berkenaan menjalankan sembelihan ayam tidak mengikut syarak.

“Hasil siasatan awal, pengusaha mendakwa bekalan ayam proses syarikat mereka adalah bagi pasaran masyarakat bukan Islam, pemeriksaan pada bil yang dikeluarkan kepada pemborong menunjukkan ia adalah milik syarikat bukan Islam,” katanya.

Katanya, premis kedua terbabit turut dikompaun sebanyak RM500 oleh MBJB kerana beroperasi tanpa lesen di rumah dan tambahan struktur di bahagian belakang premis turut dirobohkan.

Tiga pekerja syarikat terbabit turut di tahan Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Dalam Ops terbabit, Jaij turut mengeluarkan notis kepada kedua-dua syarikat berhubung kesalahan memproses makanan orang Islam yang perlu dipatuhi.

Sumber: Sinar Harian

0 Comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

blogger templates | Make Money Online