Monday 28 October 2013

Sembelih Lembu Di Sekolah Boleh Tetapi Bersyarat

 

SHAH ALAM - Susulan daripada kekeliruan isu sembelih lembu di kawasan sekolah, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, Kementerian Pelajaran membenarkan ibadah korban dijalankan dalam kawasan sekolah selagi tidak melibatkan sensitiviti kaum lain.

Menurutnya, penyembelihan lembu boleh dijalankan jika ia melibatkan sekolah yang mempunyai majoriti pelajar dan guru beragama Islam.

"Kementerian Pendidikan Malaysia tidak akan menghalang upacara korban di sekolah-sekolah.

"Tapi setiap program perlu mengambil kira sensitiviti kaum lain di sekolah tersebut dan dilaksanakan dengan sifat saling hormat-menghormati," demikian menurut beliau melalui laman Facebooknya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan , P Kamalanathan  menyatakan larangan itu sebagai respon kepada aduan seorang pengadu berbangsa India yang mempersoalkan kewajaran ibadah korban diadakan dalam kawasan sekolah di Puchong Jaya, yang mempunyai pelajar bukan Islam.

Kamalanathan selain itu berkata, larangan tersebut tidak dinyatakan di dalam pekeliling, tetapi hanya dalam bentuk nasihat kepada pihak sekolah "dari semasa ke semasa", di samping Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) akan menasihati sekolah untuk bekerjasama dengan surau berhampiran apabila pihak sekolah memaklumkan mengenai aktiviti berkenaan.

"Sebenarnya benda itu (sembelihan korban) tidak boleh. (Perkara) itu dah kementerian siasat. Biasanya tidak boleh, tetapi masalah yang berlaku apabila PPD tidak dimaklumkan.

"Kalau dimaklumkan di pejabat PPD, biasanya, mereka akan menasihatkan pihak sekolah bekerjasama dengan surau-surau berhampiran. Itu yang digalakkan," katanya.

Sumber: Sinar Harian

0 Comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

blogger templates | Make Money Online