Wednesday 23 October 2013

Lelaki Mengaku Bersalah Rompak, Kurung Dan Cabul Wanita


KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki hanya menundukkan wajah tanda akur apabila dijatuhi hukuman lima tahun penjara dan dikenakan tiga sebatan selepas mengaku bersalah merompak, mengurung dan mencabul seorang wanita, di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Savinder Singh, 32, dari Lorong Jeram, Kampung Cina, Taman Sri Manir, di sini, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan; Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana pengurungan salah dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul mangsa, Kam Siew Lian, yang ketika kejadian berusia 21 tahun.

Bagi pertuduhan pertama, Savinder mengaku bersalah bersama-sama dua rakannya melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta mangsa seperti telefon bimbit dan wang tunai di hadapan Kedai Teong Lean Auto Spare Parts, Jalan Pulau Kambing, di sini, antara jam 1 pagi hingga 3 pagi, 1 Mei 2012.

Bagi kesalahan itu, dia dikenakan hukuman lima tahun penjara dan tiga sebatan.

Manakala Savinder turut mengaku bersalah bagi pertuduhan mengurung dan mencabul mangsa di sebuah rumah di Lorong Jeram, Kampung Cina, Taman Sri Manir, di sini, antara jam 1 pagi hingga 9.30 pagi, pada 1 Mei 2012.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, Savinder dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan tiga tahun.

Bagaimanapun, Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris mengarahkan kesemua hukuman berkenaan dijalankan serentak.

Sebelum ini, dua lagi rakannya yang dituduh bersama-sama melakukan jenayah tersebut telah pun mengaku bersalah dan kini sedang menjalani hukuman di penjara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala Savinder diwakili peguam Nik Mohd Radhia Nik Abdul Ghani.

Berdasarkan fakta kes, mangsa membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga yang memaklumkan dia dirompak tiga lelaki termasuk Savinder.

Selepas dirompak, mangsa dikurung di sebuah rumah sebelum dicabul Savinder dan dibebaskan tidak lama kemudian.

Susulan laporan dibuat, satu serbuan dilakukan dan ketika ditahan, Savinder turut positif dadah jenis Amphetamine dan hasil siasatan selanjutnya mendapati sebelum ini, Savinder pernah dikenakan sekatan mengikut Seksyen 4A (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 selama dua tahun bermula 24 Oktober 2011.

Sumber: Sinar Harian

0 Comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

blogger templates | Make Money Online