Saturday 28 September 2013

Alasan Teman Kekasih Sehingga Siang Dicekup Di Hotel


BATU PAHAT - “Jangan macam ni bang, nanti mak saya marah,” itu rayuan seorang pemuda awal 20-an setelah ditahan berdua-duaan bersama pasangannya di sebuah hotel di Ayer Hitam, malam semalam.

Pemuda berkenaan yang memberi banyak alasan turut merungut serta menyatakan dia tidak melakukan kesalahan, cuma menemani kekasihnya di bilik hotel sementara menunggu hari siang.

Timbalan Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, semasa serbuan, pemuda berkenaan dan pasangannya mengambil masa untuk membuka pintu hotel.

Katanya, sebaik membuka pintu berkenaan pemuda itu memberi pelbagai alasan termasuk menemani ‘anak saudaranya’ yang takut tinggal di hotel itu seorang diri.

“Pemuda berkenaan turut memberi pelbagai alasan lain seperti membeli makanan, menemani pasangannya serta hanya singgah sebentar dan akan pulang selepas itu.

“Pemuda berkenaan turut mengaku menipu ibunya, di mana dia menyatakan akan ke Segamat tetapi sebenarnya singgah di hotel di Ayer Hitam ini untuk bersama kekasih.

“Operasi ini turut disertai beberapa anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya selepas rutin operasi mencegah maksiat di daerah ini, semalam.

Menurut Saiful, walau apa juga alasan diberikan, pemuda dan pasangannya tetap melakukan kesalahan kerana berdua-duaan secara berkurung sehingga menimbulkan syak.

Katanya, pasangan berkenaan kini ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 (1) (a) (b), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997,

“Pasangan ini akan dihadap ke mahkamah selepas siasatan kes kesalahan yang mereka lakukan ini selesai.

“Operasi ini bertujuan membendung kegiatan sumbang yang makin menular di kalangan anak muda yang semakin membimbangkan semenjak akhir-akhir ini.

“Selain itu, operasi seperti ini juga akan dilakukan dengan lebih kerap, dengan tertumpu pada aduan orang ramai, hotel bajet dan kawasan berpotensi kelakuan seperti ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

0 Comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

blogger templates | Make Money Online