Friday 9 August 2013

Siri Kes Tembakan Di Malaysia


Kali ini dalam masa sehari dua kes tembakan berlaku. Tambahan pula hari ini merupakan hari raya aidilfitri pertama. Orang sibuk beraya tetapi kes tembakan berlaku setiap hari. Mungkin ada kesinambungan antara satu kes dan satu kes.

Kes Pertama :
IPOH 8 Ogos - Seorang lelaki yang sedang memandu kereta cedera parah selepas terkena tembakan dilepaskan dua suspek bermotosikal di Taman Klebang Putra, dekat Chemor di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, dalam kejadian kira-kira 11.15 malam itu, dua lagi yang berada dalam kereta itu dipercayai anggota keluarga lelaki berusia 29 tahun itu tidak mengalami kecederaan.

"Kedua-dua suspek yang menaiki sebuah bermotosikal menghampiri kereta mangsa yang sedang dipandu di kawasan perumahan berkenaan dan dipercayai melepaskan enam das tembakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Balai Polis Pekan Baru di sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek memakai topi keledar 'full face' semasa melakukan jenayah berkenaan dan identiti mereka tidak dapat dikenal pasti buat masa sekarang.

Polis menjumpai enam kelongsong peluru di atas jalan tempat kejadian berkenaan dan setakat ini polis menerima satu laporan daripada seorang saksi berhubung kejadian itu, katanya.
Chang Keong berkata, mangsa yang bukan berasal dari sini sedang dirawat di sebuah hospital di sini dan keadaannya dilaporkan stabil. - BERNAMA

Kes Kedua:
GEORGE TOWN 8 Ogos - Dalam satu lagi kejadian tembak, seorang lelaki berumur 37 tahun mati ditembak di persimpangan lampu isyarat di Jalan Anson di sini kira-kira pukul 11.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, mangsa Veerappan Kanapathi meninggal dunia di dalam kereta BMW warna hitam yang memiliki plat pendaftaran Kuala Lumpur selepas ditembak oleh dua orang lelaki bermotosikal yang salah seorang daripadanya berasal dari Ayer Itam.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Kong Meng berkata, polis menjumpai 14 kelonsong peluru 9mm di sebelah tempat duduk pemandu.
Katanya mangsa dipercayai mati ditembak di bahagian leher dan kepala.
Gan berkata mangsa yang tinggal di Ayer Itam mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan Akta Dadah Berbahaya.
Polis sedang mengesan saksi dan tempat yang mempunyai CCTV untuk membantu siasatan. - BERNAMA

Kes ke 3

GEORGE TOWN - Seorang 'bouncer' di sebuah pusat hiburan di Jalan Keramat di sini, cedera di paha selepas terkena tembakan dalam kejadian
awal hari ini.

Chong Peng Meng, 43, dari Flat Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim bersama rakannya ditembak seorang suspek bertopi keledar sejurus tiba di tempat letak kereta pusat hiburan itu pada pukul 12.50 pagi.
"Suspek telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa yang sedang turun dari keretanya jenis BMW dan satu das tembakan mengenai paha sebelah kiri mangsa," kata Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi Bernama di sini.

Gan berkata, mangsa yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dilapor dalam keadaan stabil manakala rakannya tidak cedera.Siasatan awal polis di tempat kejadian menemukan tujuh kelongsong peluru jenis 9mm dan mendapati satu das tembakan mengenai kereta jenis Perodua Myvi milik orang awam, katanya.
Katanya polis percaya kejadian ada kaitan dengan pergaduhan antara kumpulan kongsi gelap. - Bernama

0 Comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

blogger templates | Make Money Online