Wednesday 31 July 2013

Anak Derhaka Dalang Rompak Bapa


Inilah yang dikatakan anak derhaka. Bapa sendiri pun nak dirompak.

Seorang bapa bernasib malang apabila menjadi sasaran anak sendiri yang mendalangi kejadian rompakan berkumpulan dan bersenjata ke atasnya, di Kampung Sireh Bawah Lembah, di sini, 21 Julai lalu.

Ketua Polis daerah, Asisten Kormisioner Azham Othman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, 63, berada di rumah bersama seorang lagi anak perempuannya yang berusia lingkungan 20an.

Katanya, kira-kira jam 12.30 tengah hari, dua beranak itu didatangi dua lelaki, seorang daripadanya bertopeng dan bersenjatakan pistol manakala seorang lagi membawa lawi ayam.

 “Mereka masuk melalui pintu dapur dan kebetulan anak perempuan mangsa ada di dapur ketika itu lalu diacukan pistol oleh suspek.

“Terkejut dengan tindakan suspek, wanita itu menjerit menyebabkan bapanya bergegas ke dapur untuk melihat apa yang berlaku. Dia kemudiannya turut sama diacukan pistol sebelum mereka diikat menggunakan wayar nilon,” katanya.

Azham berkata, sejurus mengikat kedua-dua mangsa, suspek masing-masing berusia 31 dan 33 tahun itu terus menggeledah rumah dan melarikan barangan kemas yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM30,000.  Turut dicuri, empat telefon bimbit milik mangsa.

Menurutnya, hasil kecekapan risikan awal, polis menahan anak lelaki mangsa yang berusia 32 tahun di rumah mereka, kelmarin.

“Siasatan awal mendapati anak mangsa yang sebelum ini bekerja sebagai kontraktor mengaku menjadi perancang yang menyuruh dua kenalannya itu merompak mangsa. Susulan penahanannya, polis berjaya menahan dua lagi suspek yang melakukan kejadian rompakan itu,” katanya.

Ketiga-tiga mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 5 Ogos depan. Kes disiasat 395/397 kerana samun berkumpulan bersenjata.

Sumber: Sinar Harian

0 Comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

blogger templates | Make Money Online