Sunday 18 March 2012

KES CULIK, POLIS TURUT DITAHAN?


ALOR SETAR - Seorang anggota polis yang digantung perkhidmatan ditahan bersama dua lelaki lain bagi membantu siasatan kes culik seorang lelaki di Kuala Muda, Sungai Petani, Jumaat lepas.

Ketiga-tiga lelaki berusia antara 28 dan 50 tahun itu ditahan di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur pada pukul 2 pagi semalam selepas keluarga mangsa menyerahkan wang tebusan sebanyak RM40,000.

"Mangsa yang berusia 23 tahun berada dalam keadaan selamat," kata Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim di sini hari ini.

Beliau berkata, polis merampas wang tunai RM40,000, empat telefon bimbit, satu gari dan sebuah kereta jenis Honda Civic yang dilapor hilang di Lembah Klang serta menemui semula kereta Proton Gen2 milik mangsa.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan diculik di hadapan sebuah hotel di Bedong dekat Sungai Petani kira-kira pukul 11 pagi Jumaat lepas ketika dia baru keluar dari hotel dan ingin masuk ke dalam keretanya.

"Mangsa ditarik masuk ke dalam kereta oleh suspek sebelum dibawa ke Kuala Lumpur," ujarnya.

Katanya lagi, keluarga mangsa dihubungi suspek yang meminta wang tebusan sebanyak RM60,000 tetapi selepas berbincang, suspek bersetuju menerima RM40,000.

Ahmad berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki yang ditahan itu positif dadah dan dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau. - BERNAMA

0 Comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

blogger templates | Make Money Online