Thursday 10 July 2008

Cerpen: PEWARIS IBUNDA


PEWARIS IBUNDA

“ Selamat Datang” terpampang perkataan yang indah di pintu pagar sekolah. Di sebelahnya tertera perkataan ‘Welcome’. Tetapi, perkataan Inggeris lebih besar dan menonjol. Lebih kurang dua kali ganda besar daripada Bahasa Melayu. Perasaan Aiman berkobar-kobar. “Sudah tentu sekolah ini pelajarnya pandai berbahasa orang putih”. Fikirnya.
Kaki terus melangkah melepasi pintu pagar sekolah. Sungguh cantik dan tersergam indah bangunan sekolah ini. Kelihatan kereta-kereta mewah menjalar masuk ke kawasan perkarangan sekolah. Aiman menghentikan langkahnya di satu sudut, Tertera di situ perkataan “ Canteen”. Aiman berehat sebentar sebelum kelas bermula. Diperhatikan kelibat bakal-bakal anak muridnya yang masih belum dikenali. Aiman dilayan seperti pendatang asing. Terdengar perbualan murid-murid sekolah ini. Terkejut Aiman seketika mendengar perbualan pelajar-pelajar sekolah. Semuanya di dalam Bahasa Inggeris. Setahu Aiman, sekolah ini sekolah elit di bandar.
Aiman bertanyakan seorang lelaki yang berpakaian seperti seorang guru lagaknya. “ Encik .., boleh tumpang tanya , pejabat sekolah di mana?”. Sapa Aiman.
“ Of course boleh , Office upstairs”
“ Level one , u go straight and turn right”
“Berbahasa Inggerislah pulak cikgu ni, bercampur-campur lagi” Aiman tersenyum sinis.
“ Terima kasih encik”
Aiman berlalu pergi.

Aiman berjalan seperti yang di arah sambil mata memandang perkataan pejabat. Selang beberapa langkah Aiman telah berada di hadapan pintu pejabat. Pintu pejabat terbuka. Kelihatan beberapa orang guru sedang sibuk melakukan tugas-tugas mereka pada pagi itu.
“ Assalamualaikum” Sapa Aiman.
Salamnya lantas dijawab oleh Cikgu Bahar yang berada betul-betul di hadapan kaunter pejabat.
“ Saya Muhammad Aiman bin Mohd Akhir , saya baru ditempatkan bertugas di sekolah ini. Boleh saya berjumpa dengan guru besar?” Aiman memeperkenalkan dirinya.
Cikgu Bahar lantas menunjukkan bilik guru besar. Tertera nama Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kota Jaya , Encik Rahim bin Omar.
Aiman menuju ke bilik guru besar , bakal ketua jabatanya.
“ Assalamualaikum” Salam Aiman penuh tertib.
Aiman memperkenalkan dirinya kepada guru besar. “ Saya Muhammad Aiman ditugaskan untuk mengajar di sekolah ini”, sambil menghulurkan surat penempatan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pelajaran.
“ Selamat datang ke Sekolah Kebangsaan Kota Jaya”. Encik Rahim dengan penuh senyuman mengalu-alukan kedatangan Aiman.
“ Asal mana?” Encik Rahim menyoal.
“ Saya orang utara, Alor Star Kedah cikgu”. Balas Aiman.
“ Orang utara rupanya , Cikgu Rahim seoarang yang peramah. Guru besar Sekolah Kebangsaan Kota Jaya menghilangkan rasa gugup Aiman

“ Awak lulusan Diploma Perguruan dalam pengkhususan Bahasa Melayu, kebetulan sekolah ini kekurangan guru Bahasa Melayu. Apa kata awak mengajar tahun enam. Boleh tak?” Cikgu Rahim menyoal Aiman.
“ Saya masih baru lagi cikgu, pengalaman pun masih kurang. Kalau cikgu mahu juga saya mengajar Bahasa Melayu tahun enam , saya akan cuba”. Aiman menunjukkan satu keyakinan yang tinggi di hadapan Cikgu Rahim.
“ Baiklah , Cikgu Aiman boleh ambil jadual waktu persendirian daripada Cikgu Halim. Tahniah sekali lagi dan selamat datang ke Sekolah Kebangsaan Kota Jaya”. Cikgu Rahim melemparkan senyuman kepada Aiman.
“ Oh....terlupa saya, Cikgu Aiman sekolah kita kebanyakkan pelajar bandar dan mahir berbahasa Inggeris. Saya harap Cikgu Aiman bersabar semasa mengajar nanti”. Cikgu Rahim memberi ingatan.
Aiman tersenyum sambil berlalu. Kotak fikiranya terlintas kata-kata guru besar sekolahnya.
“ Patutlah sekolah ni lebih banyak perkataan Inggeris daripada bahasa ibunda sendiri”. Fikir Aiman lagi.
Aiman melangkah keluar dari bilik cikgu Rahim menuju ke arah Cikgu Halim.
Dia menerima jadual seperti yang diarahkan oleh guru besar. Ditugaskan mengajar pelajar tahun enam yang terdiri daripada pelbagai kaum dan anak orang berada di kota dirasakan mencabar dirinya nanti sebagai seorang guru.



* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

“ Bangun ... semua!.... Selamat sejahtera cikgu”.
Pelajar tahun 6 Perpaduan mengucapkan salam kepada Aiman.
“ Selamat sejahtera , duduk”. Balas Aiman.
“ Sebelum memulakan kelas hari ini, ingin saya perkenalkan diri saya terlebih dahulu. Saya cikgu Aiman bin Mohd Akhir, akan mengajar kamu semua mata pelajaran Bahasa melayu”. Anak murid Aiman dengan penuh minat mendengar penerangan.
“ Aiman secara serkap jarang terus menyoal dan cuba mengetahui pencapaian anak muridnya dalam Bahasa Melayu. “ Saya dengar kelas ni pencapaian Bahasa Melayu amat lemah, betul ?”. Soal Aiman. Pelajar-pelajar hanya mendiamkan diri.Tidak bersuara mungkin kerana soalan Aiman ada kebenaranya atau masih malu untuk besuara dengan guru baru. Aiman rasa bersalah mengatakan pencapaian pelajar lemah dalam Bahasa Melayu. “ Cikgu minta maaf sekiranya mengatakan kamu semua lemah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu”.
Tiba-tiba terdengar suara memintas percakapan Aiman. “ Buat apa belajar Bahasa Melayu , bukanya penting pun. Bahasa Inggeris lagi penting bagi kita orang. Lagipun tahun ni kami perlu menjawab soalan U.P.S.R dalam bahasa Inggeris”.
Aiman terkedu mendengar jawapan yang agak menyakitkan hatinya. Dia tidak menyangka terdapat pelajar yang sebegitu di sekolah ini. Namun sebagai seorang guru, Aiman telah dibekalkan dengan ilmu psikologi yang dapat membantu di kala marah mula menyerang urat sarafnya.
“ Siapa nama kamu?, boleh cikgu tahu.” Aiman dengan suara yang lembut meminta pelajarnya memperkenalkan diri.
“ Saya Munirah binti Datuk Azman”. Pelajar itu berkata tanpa memandang Aiman.
“ Untuk pengetahuan cikgu, saya tidak berminat langsung belajar Bahasa melayu.Di rumah saya langsung tidak menggunakan Bahasa Melayu semasa kami berbual. Keluarga saya jarang menggunakan Bahasa Melayu dan kami sekelurga sering bertutur dalam Bahasa Inggeris”. Jelas perasaan bangga terpancar di raut wajah Munirah.
Aiman tetap seperti tadi. Dia dapat mengawal kemarahanya dan meminta Munirah duduk.
“ Ok , sila duduk”.
“ Thank you Sir”. Balas Munirah.
Aiman berkenalan dengan pelajar-pelajar tahun 6 perpaduan. Kelas berbilang bangsa dan pelbagai latar belakang. Ada anak orang yang bergelar dan ada anak orang biasa.
Dalam tempoh berkenalan , Aiman amat kagum dengan seorang pelajar berbangsa Tionghua, Tan Seiw Moi. Kata-kata Seiw Moi kepada Aiman masih melekat di kotak fikiranya.
“ Cikgu... saya ingin belajar Bahasa Melayu dengan cikgu. Cita-cita saya mahu mengajar Bahasa Melayu macam cikgu”.
Suasana kelas pecah dengan deraian ketawa.Pelajar lain seperti menyindir cita-cita Siew Moi. Amri rakan sekelas Seiw Moi menyindir.
“ He.. amoi, U want to be a teacher, teaching Bahasa Melayu pulak tu, in your dream la..” Kelas 6 Perpaduan bising dengan suara ketawa pelajar
Seiw Moi malu lantas duduk. Kelihatan garis kecewa di mukanya.
Aiman lantas mententeramkan keadaan. Dia tahu, pelajar-pelajar sebangsa denganya memperlekehkan tugasnya sebagai seorang guru bahasa Melayu. Seorang pewaris bahasa ibunda.
“ Bagus cita-cita kamu Seiw Moi. Cikgu kagum dengan kamu , walaupun bukan orang Melayu, kamu bercita-cita menjadi seorang guru Bahasa Melayu”. Aiman menyejukkan hati Seiw Moi.
Tamat kelas hari itu, Aiman terfikir tentang Seiw Moi. “ Hanya Seiw Moi sahaja yang menunjukkan minat untuk mempelajari Bahasa Melayu, pelajar lain semacam ja, susah aku nanti. Tidak patut langsung mereka meletakkan Bahasa Melayu paling ke bawah”. Keluh Aiman sendirian.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Suasana di bilik guru kelihatan beberapa orang guru sedang sibuk menyelesaikan kerja harian mereka. Aiman duduk bersebelahan Cikgu Daisy Rani, seorang guru Bahasa inggeris dan Cikgu Suzzana , guru Sains. Aiman seorang yang mudah mesra dan itu yang diajar oleh kedua orang tuanya. Menjaga diri dan bijak bergaul dengan orang.
“ Cikgu Aiman mengajar Bahasa Melayu kelas 6 Perpaduan ke?”. Cikgu Daisy memecahkan kesunyian bilik guru.
“ Ya, saya mengajar Bahasa Melayu di kelas tersebut. Kenapa cikgu”. Aiman memulakan perbualan dengan Cikgu Daisy.
“ Bukan apa cikgu Aiman, berminat ke pelajar kelas tu nak belajar bahasa dengan cikgu?. Setahu saya pelajar kelas tu , langsung tak berminat. Kalau tengok keputusan ujian bulanan sangat teruk. Cikgu Aiman tahu? Peratus U.P.S.R sekolah kita jatuh pun sebab Bahasa Melayu lah!”. Cikgu Daisy seakan menyalahkan Bahasa Melayu dan guru Bahasa Melayu.
“ Lagipun Cikgu Aiman , tahun ni pelajar kita akan menjawab soalan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Jadi kenalah Cikgu aiman perlu guna strategi yang baru untuk menarik minat mereka belajar. Baru lepas maktab perguruan , panas lagi tu!”. Sindir Cikgu Suzzana.
Aiman hanya mendengar sindiran rakan sejawatanya, dia tidak mahu dikatakan kurang ajar dengan memberikan pendapat yang boleh menguris hati orang lain. Bukan sekarang dia mahu memulang paku buah keras, tiba masanya nanti pasti cikgu lain sedar kesilapan mereka.
“ Saya akan cuba memberitahu mereka dan mengubah persepsi pelajar kita bahawa Bahasa Melayu amat penting, lebih penting daripada Bahasa Inggeris. Walaupun saya lihat pelajar-pelajar tidak menunjukkan minat, saya akan cuba sedaya upaya saya untuk kebaikan mereka”. Aiman meluahkan dengan penuh semangat namun dalam nada yang bersahaja.
“ Saya rasa Bahasa Melayu tiada langsung kepentinganya , Cikgu Aiman. Lagipun sekarang semua pelajar perlu menjawab dalam Bahasa Inggeris. Tentu pelajar tidak berminat untuk pelajari Bahasa Melayu. Kan Bahasa Melayu mudah!”.
Aiman terkedu mendengar seorang guru berbangsa Melayu memperlekehkan bahasa ibundanya sendiri. Baginya tidak salah mengeluarkan pendapat, namun bahasa sendiri diperlekehkan amat besar kesalahanya. Hati Aiman makin membara, lantas dia mengeluarkan hujah yang pada pendapatnya semua orang tahu. Namun yang tahu itulah menyebabkan ramai yang melupakanya.
“ Cikgu Suzzana.., Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Kita perlu belajar. Semua rakyat Malaysia perlu belajar Bahasa Melayu. Dalam perlembagaan 152 ada menyatakan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara. Jadi saya akan cuba mengajar dengan baik agar pelajar sekarang tidak melupakan akar asal usul mereka. Bahasa menunjukkan bangsa!, cikgu Suzzana”. Dalam nada yang sopan tetapi penuh dengan sindiran Aiman menujukkan kata-kata tersebut kepada rakan sejawatanya.
Aiman sedar tahun 2008 semua pelajar akan menjawab soalan dalam Bahasa Inggeris. Tambahan pula rakan-rakanya yang mengajar Sains dan Matematik mendapat elaun berbanding guru Bahasa Melayu. Dalam ruang fikiranya sering bertanya.
“ Kenapa Bahasa sendiri tidak diberi keutamaan? Berapa ramai pelajar sekarang yang tidak menguasai Bahasa Melayu dengan baik?”.Cikgu lain seperti bangga dengan elaun yang mereka peroleh, lantas mengagung-agungkan Bahasa Inggeris. Kalau tengok pada zaman dahulu pun , ramai juga yang berjaya walapun belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu”. Kadang-kadang perasaan cemburu terdetik di hati tatkala melihat rakanya mendapat imbuhan. Namun perkara itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk mendidik anak bangsa mengenal bahasa ibunda mereka.




* * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Setelah lima bulan mengajar tahun 6 Perpaduan , sedikit demi sedikit Aiman dapat menarik minat pelajar untuk menguasai mata pelajaran Bahasa Melayu. Aiman mengadakan pertandingan mencipta pantun , sajak , dan esei. Pelajar-pelajar yang berjaya diberinya saguhati. Sambutan yang diterima diluar jangkaan Aiman. Walaupun demikian terdapat segelintir pelajar yang masih lagi dengan pendirian mereka. Bahasa Inggeris tetap nombor satu.
“ Hari ini , kita akan mempelajari tentang seorang tokoh bahasa. Buka muka surat 52 , tajuknya ‘Pendeta Bahasa’”. Arah Aiman kepada pelajar 6 Perpaduan.
“ Cikgu harap kamu semua kenal dengan Pendeta Bahasa. Beliau merupakan tokoh pejuang dalam bidang bahasa. Untuk menguji kefahaman kamu semua tentang Pendeta Bahasa , cikgu ada beberapa soalan”.
“ Siapakah nama sebenar Za’ba?”.
“ Zainal Abidin bin Ahmad , cikgu!!!!. Kelas bergema dengan jawapan yang ditanya Aiman.
“ Mengapakah Za’ba digelar sebagai Pendeta Bahasa?”.
Lantas Seiw Moi mengangkat tangan untuk menjawab.
“ Baiklah Siew Moi, apakah jawapanya?”.
“ Za’ba digelar Pendeta Bahasa kerana telah banyak berjasa kepada dunia pendidikan, khususnya dalam bidang bahasa , cikgu!”.



“ Saya juga telah mencari karyanya yang terkenal di perpustakaan iaitu Pelita Bahasa Melayu”.
Ternyata guru-guru di sekolah ini telah membuat satu tafsiran yang silap terhadap Bahasa Melayu. Kini , pelajar-pelajar Aiman telah menunjukkan rasa cinta mereka terhadap Bahasa Melayu. Mereka tidak lagi menganggap Bahasa Melayu sebagai kelas kedua. Pelajaran hari ini sangat bermakna bagi Aiman kerana dapat memperkenalkan seorang tokoh yang sangat terkenal dalam bidang bahasa. Bagi Aiman , dia merupakan pewaris kepada Pendeta Za’ba , mengajar manusia mencintai Bahasa Melayu.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Bulan September 2008 , semua pelajar 6 Perpaduan menduduki peperiksaan U.P.S.R. Mereka menduduki kertas Bahasa Melayu dengan tenang. Segala ilmu telah dicurahkan Aiman bagi membuktikan kata-kata Cikgu Daisy dan Cikgu Suzzana tidak benar. Aiman sentiasa berdoa semoga anak didiknya berjaya dalam peperiksaan.
Selang beberapa bulan selepas itu, keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah diumumkan. Hati Aiman gundah gulana. Dia merupakan orang yang paling gelisah berbanding guru-guru lain dan pelajarnya sendiri.
“ Tahniah Cikgu, pelajar cikgu telah lulus dengan cemerlang. Peratus pencapaian Bahasa Melayu sekolah kita telah meningkat dengan baik sekali, malah ramai pelajar Aiman memberitahunya walaupun tidak ditanya.
Pada saat itu, hati Aiman bagaikan menari-nari. Rasa gelisah telah terbang dibawa sang bayu. Aiman berjaya.
“ Terima kasih cikgu, kerana mengajar saya untuk mencintai Bahasa Melayu. Kerana cikgulah saya dapat A dalam Bahasa Melayu”. Suara Seiw Moi menghargai usaha Aiman.
“ Belajar rajin-rajin Seiw Moi. Ini hanya permulaan untuk kamu kenal Bahasa Melayu. Nanti apabila kamu dewasa, kamu akan lebih banyak mengenali Bahasa Melayu”.
Hari itu, Aiman pulang ke rumah dengan penuh rasa bangga. Ramai orang salah anggap, belajar Bahasa Melayu adalah sesuatu yang sukar dan tidak perlu belajar sedari kecil lagi. Pelajar umpama rebung, kalau sudah tua bernama buluh. Sudah tentu sukar dibentuk.
Dalam hati Aiman berkata.
“ Harap-harap pelajar aku ini nanti, lahir Pendeta Za’ba menjadi pewaris bahasa ibunda.”

0 Comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

blogger templates | Make Money Online